Friday, October 30, 2009

30 Okt 2009 - Warkah Umi

Assalamualaikum wbt
 
Anak-anak yang dikasihi,
 
apa khabar? Dah seminggu Umi tinggalkan Malaysia. Alhamdulillah hari ini, abi dan umi telah mula berutus sms. Syukur. Umi masih tak boleh nak temankan abi di ward lagi, Ah Loon aje yang pergi jengok abi. Tadi Umi pesan Ah Loon suruh lap-lap kan abi, tugas yang sepatutnya umi laksanakan. InsyaAllah malam ni umi akan ziarah abi lagi. 
 
Malam semalam, semasa pertama kali umi pandang wajah abi, perkataan pertama yang keluar dari mulut abi, "dinda apa khabar? I love you sayang, from the first day abang nampak dinda, cinta abang tak pernah berkurang". chewah.....berdrama pulak, tapi memang betul, itulah yang abi cakap. Agaknya abi sangat risaukan umi yang duduk sorang-sorang di tempat yang begitu asing. 
 
Masa umi lepaskan abi keluar dari bilik hotel untuk ke hospital (jam 10 malam, 28 Oktober 2009), sampailah saat umi dan abi bertemu kembali (jam 8.20 malam, 29 Oktober 2009), umi hanya berserah dan tawakal kepada Allah yang Maha Penyayang. Umi panjatkan doa agar Allah mengampunkan dosa-dosa abi, merahmatinya, menjadikan hati doktor dan nurses yang merawat abi bersikap lemah lembut pada abi, moga Allah permudahkan urusan operation, tiada komplikasi semasa dan selepasnya dan semoga badan abi serasi menerima ubat-ubat yang dimasukkan. Umi juga memohon agar Allah berikan abi lagi waktu untuk abi menyiapkan buku-buku penulisan terutamanya Jejak Risalah di Nusantara (JRN) yang sangat berharga itu. Abi bercita-cita untuk meninggalkan legacy untuk anak cucu dan generasi akan datang satu set bahan rujukan tentang Islam di Nusantara. Abi kata, untuk berdakwah dalam masyarakat kita perlu tahu sejarah masyarakat itu sendiri. Belum ada lagi sumber rujukan untuk para duat di dunia sebelah sini dapat gunakan dalam kontek ini. Kalau adapun ianya terpancar-pancar. Apa yang abi lakukan ialah mengumpulkan bahan rujukan tersebut, menganalisa dan merumuskan dari sudut pandang seorang pendakwah. Tafsir Al Quran tulisan Prof HAMKA mengambil masa berpuluh tahun untuk disiapkan. Itulah yang menjadi inspirasi abi, projek JRN memerlukan masa dan nafas yang panjang. Abi puas kalau Allah ambil nyawa abi ketika mana JRN telah siap diterbitkan kesemuanya. Semoga Allah makbulkan cita-cita abi.
 
Semalaman itulah umi tak dapat tidor. Umi rasa abang Qayyim, Amin dan Odi pun begitu juga. Kelima-lima kita terpisah, berseorangan dalam menghadapi saat yang getir ini. Begitulah umpamanya di akhirat kelak, sedalam mana pun kasih sayang kita anak-beranak, kita tetap dibangkitkan berseorangan di hadapan Allah nanti. Semoga dengan iman, amal soleh dan rahmat Allah kita dapat dipertemukan semula di alam yang kekal abadi. 
  
Umi percaya bukan kita sahaja yang mendoakan abi dengan tulus, mak ngah, cik aton, mak long, ateh, atok, kak fuza, abang wan, pakcik-makcik di Johor dan Kuala Lumpur turut mendoakan abi. Apatah lagi pakcik makcik dalam JIM. Mereka yang telah banyak berkorban untuk abi dan kita sekeluarga. Beransur-ansur kita lihat perkembangan yang positif pada abi, semua berkat doa, usaha dan kasih sayang mereka. Kita mestilah tidak lupa diri ya. Janganlah hendaknya kita menjadi orang-orang yang ingat pada Allah apabila ditimpa musibah sahaja, tapi kembali lupa apabila keadaan telah aman. Semoga episod kehidupan ini dapat meningkatkan lagi iman dan takqwa kita pada Allah swt. Mudah-mudahan kita dapat terus berbakti dan beramal di atas jalan dakwah ini, sekecil mana pun sumbangan atau peranan yang dapat kita berikan.  
 
Jumpa lagi di lain kesempatan, salam sayang
Umi
Yiyang, China
2.15pm, 30 Oktober 2009

0 comments:

Post a Comment