Showing posts with label Gambar. Show all posts
Showing posts with label Gambar. Show all posts

Tuesday, October 27, 2009

Medical checkup 27 Okt 2009

Umi & Abi di Park. Bagi patient sperti Abi elok jalan-jalan hilangkan stress.
Kami jalan kaki aje dari hotel. 

Umi berlatarbelakangkan jalanraya di Yiyang.
Kenderaan di sini asyik pakai hon aje…
sampai pukul 1 pagi pun masih dengar dari bilik hotel. 

Abi tengah ambil photo untuk buat ID China dengan nama “Ong Keong” 


Hari Selasa lepas pulak, Abi ada appointment untuk medical check up. Ah Loon kata mesti ready 0730 nak pergi hospital. Dah pukul 0745 Ah Loon betul datang ambil Abi di bilik hotel. Umi call pun tak berjawab. Tak lama tu, dia hantar mesej "Sekarang mandi, sekejap saya call uncle". Ah Loon ni dah jadi macam anak Umi Abi di sini. Sangat mengambil berat dan banyak mulut. Takde lah kami rasa sunyi di sini. 
 
Proses medical checkup di sini sangat efficient kata Abi. Walaupun orang ramai, tetapi prosedur dan disiplin hospital di sini membuatkan proses berjalan amat lancar (ada jugalah bab potong queue tu....biasak lah...). Agaknya rakyat dah terbiasa dengan disiplin hidup regimented. Dalam pukul 0930 semua tests dah selesai termasuk ambil darah, X-ray, sugar dan ECG. 
 
Pukul 1200 Umi terima mesej dari Ah Loon lagi "Uncle nanti pukul 1pm pergi ambil photo buat ID China. Itu potential donor semalam buat test dapat matching 4-point (ini Umi tak faham, tapi 4-point is the best compared to 2 atau 3 point) dengan you, Doktor dah tengok semua report budak tu, takada masalah. Sekarang doktor tunggu uncle punya report keluar. Kalau semua ok, besok malam boleh kasi operation". Membaca aje mesej Ah Loon tu, hilang rasa lapar Umi (sebelum tu memang rasa lapar sangat..) Kami terus berwuduk dan bersiap untuk solat Zuhur berjamaah. Umi berdoa dengan penuh rasa khauf dan raja'.
 
Pukul 1pm kami keluar untuk ambil photo Abi. Haha Abi ada ID China dan membawa nama "Ong Keong". Pakcik Jusri dulu Ong Peng. Kira adek beradek lah tu..Nanti Umi hantarkan gambar IDnya kalau dah siap ya..Lepas ambil photo kami pergi supermarket Better Life. Abi nak cari sayur. Kami beli terung sebiji, sawi putih pak choy, daun sup, beras 2 genggam dan buah nectarine 2 biji. Beras tu kami nak cuba aje dulu, sebab beras yang Ah Loon belikan sebelum ni berkanji. Makan sikit, tertidor...... 
 
Sekarang dah pukul 0925, belum ada berita dari Abi, samada results medical check up semua ok atau tak untuk operation malam ni. Umi akan terus doakan untuk Abi. Umi akan update lagi ya....
Ummu Qayyim
Yiyang, 27 Oktober 2009

Diari 26 Okt 2009

Hari Isnin lepas (26 Oktober 2009) adalah hari ulang tahun kelahiran Umi yang ke 44. Balik dari dialysis Abi belikan Umi 6 kuntum bunga rose sebagai hadiah. Bunga tu Umi masukkan dalam botol air mineral kosong yang Umi potong, isikan air paip dan campak sebiji panadol (ini petua nak buat bunga tahan lama) dan letakkan di side table katil kami. Itulah bunga rose yang paling cantik pernah Umi terima. Umi kepilkan gambarnya di sini.

Inilah birthday present Umi tahun ni. Alhamudlillah, Abi 
Memang selalunya tak lupa birthday Umi. Begitu juga
Dengan anak-anak, terima kasih atas birthday wish yang 
Umi terima. Siapa yang terlupa wish tu, siap…… 

Diari 25 Okt 2009

Abi tengah sibuk di workstation. Sebelah aje tu, ialah dapor kami. 
Alhamdulillah, kami masak pakai Rice cooker dan travel cooker.

4:30 : Dalam munajat pagi ini, Aku panjatkan doa khusus buat seorang dua sahabat. Doa buat anakanda Ahmad Yassin yang akan menjalani pembedahan jantung dan juga buat seorang lagi sahabat yang berhasrat untuk bertukar kerja kepada suatu bidang lain yang Aku rasakan sangat cocok sekali buat beliau. 

5:15 : Tertidur sekejap ngantuk sangat

6:00 : Bangun subuh, ma’thurat & sambung mengaji Surah Ali Imran. Tak sibuk buat sarapan sebab mengikut mesej Ah Loon malam tadi, abang tak boleh sarapan untuk appointment doktor. 

7:30 : Ah Loon mesej kata it’s Sunday, doctor is not working. Appointment will be tomorrow. Ah… what a waste. Abang has been waiting for the appointment. Wake up and make breakfast. We had rice, sardine and sup sayur. Alhamdulillah.  

Abang mula menandakan kertas ujian pelajarnya. Perlahan sahaja nampaknya abang menanda, mungkin emosi abang terganggu oleh pembatalan appointment doctor tadi. Aku teruskan membaca buku “Wasiat Qur’ani Aktivis Harakah” yang dibekalkan oleh Dr Fauziah. 

11:15 : Solat Dhuha dan mainkan lagu-lagu nasyid yang Huda SMD telah save kan dalam external hard drive aku. Alhamdulillah, ada juga bunyi alternative yang solehah buat halwa telinga. 

Keadaan bilik hotel yang sangat hampir dengan supermarket Better Life dan jalanraya (out of convenience maybe) membuatkan kami terdedah kepada hiruk pikuk hon kereta (ini budaya orang sini, semua nak tekan hon. Tapi bukan tanda marah cuma amaran….). Juga bunyi musik yang pasti telah melebihi takat decibel yang dibenarkan untuk telinga manusia. Saban hari dipasangkan sebagai hiburan. Juga bunyi meriam, mercun dan bunga api tanda kegembiraan sempena majlis perkahwinan yang dimainkan entah dari mana agaknya.

Mula-mula terdengar bunyi meriam, lantas aku bertanya abang, 
Aku: bang ada perang lagi ke di Cina?
Abang : Takde , tak tahulah pulak kalau mereka baru isytihar perang hari ni
Aku senyum aje dengan jawapan abang yang memang selalunya bersifat lateral.  
 
12:30 : Solat Zuhur + asar. Bersiap untuk berjalan-jalan ambil angin ke Better Life. 

Sementara itu pintu bilik diketuk pencuci minta untuk membersihkan bilik. Aku menggunakan bahasa badan bertanya apakah bunyi bising seperti orang bergaduh yang berlaku malam tadi? Alhamdulillah dia faham dan mengatakan itu sepasang suami isteri bergaduh dan mereka duduk di sebelah bilik kami sahaja. MasyaAllah patutlah bunyinya terlalu kuat…..

Abang sangat terkesan dengan bunyi bising orang bergaduh itu. Bunyi hentakan ke dinding atau lantai entah beberapa kali, bunyi kaca terhempas adalah dua kali. Kaki dan tangan abang sejuk-sejuk, dadanya berdebar-debar. Aku menghadapi suasana itu dengan “relax” sekali. Itulah bezanya antara orang sakit dengan yang sihat, atau mungkin kerana aku tahu abang is always there to protect me.  

Kami berdua ke Better Life (dengan memberitahu Ah Loon terlebih dahulu). Beli sedikit barang untuk masak. Kentang sebiji, cili merah 4 biji, bawang sebiji, chopping board, besen penapis,, air mineral dan buah oren dua biji.

1600 : Bersiap untuk makan yang sudah tertangguh. Menu? Sardine + kentang dan sawi goreng.

Abang ada lagi 20 helaian kertas ujian untuk ditanda. Abang akan beri reward to himself pada setiap 5 helai kertas ujian yang siap ditanda, dengan berhenti sekejap baring-baring atau makan buah. Nampak sangat abang tak menyukai kerja itu. Dalam sekitar jam 2000 aku mendengar jeritan abang mengumumkan dia sudah selesai menanda 50 helai kertas periksa tersebut. 

Aku juga lihat abang mengeluh tentang beberapa kertas periksa yang mempunyai jawapan yang hampir sama 100%. Aku memberikan pendapat pada abang untuk memberikan anak muridnya ”benefit of the doubt”. Kalau abang gagalkan mereka, bagaimana pula abang hendak mendengar jawapan pembelaan dari mereka. Kan sudah menganiaya tu namanya. Susah sungguh bagi abang untuk menerima pandanganku. Apapun akhirnya abang tidak menghukum beberapa orang pelajar tersebut atas dasar “simpati”, walaupun sebenarnya “meniru” semasa peperiksaan adalah satu pembohongan besar yang menjadi musuh nombor satu abang. 

Solat Maghrib dan Isyak.

2100 : Aku tertidor sementara abang kembali kepada membetulkan thesis pelajar tahun akhirnya. Membetulkan thesis pelajar juga memberikan satu tekanan pada abang. “It’s like writing the thesis all over again” kata abang. Apapun, InsyaAllah dengan berkat istiqomahnya abang, thesis itu akan habis juga dibetulkan.  

Aku sangat arif dengan tabiat abang bila menulis. Tak boleh dipaksa-paksa. Biarkan abang mengambil masa nya kerana aku yakin, siap juga ianya satu hari nanti. Begitulah yang aku selalu katakan pada abang ”dinda yakin, satu hari nanti siap juga semua buku-buku abang tu”. 
   
Beginilah rutin kami di sini. InsyaAllah kami akan tetap positif, baik sangka pada Allah, sabar dan berlemah lembut pada orang lain. Sungguhpun Ah Loon silap menyampaikan pesanan (terutama) dalam hal temujanji dengan doktor, kami pujuk hati untuk bersikap rahmat kepadanya. Di samping kami suami isteri, Ah Loon juga ditugaskan mengawasi satu keluarga Ah Moy dari Melaka yang sudah berjaya pembedahannya, dan seorang lagi ”boy” dari Muar yang akan menjalani pembedahan pada hari Isnin nanti.  

Ummu Qayyim

Yiyang, 25 Oktober 2009

Friday, October 23, 2009

22 Okt 2009 - Hari Keberangkatan

Ikhwah bersama Dr Hafidzi, di sebelah kiri Dr Hafidzi (berkot hitam) ialah agen yang membawa beliau ke China; Mr Low
Akhawat bersama Dr Hafidzi, Kak Zu & Mr. Low
Akhi Presiden JIM (Zaid Kamarudin) sampai beberapa minit sebelum akhi Dr Hafidzi masuk ke balai berlepas.
Assalamualaikum,
 
Ikhwah dan akhawat sekelian yang kami sayangi. Alhamdulillah perjalanan kami ke destinasi yang ditujui berjalan dengan lancar berkat doa semua kaum keluarga dan sahabat-sahabat semua. 
 
Kami sampai ke bandar Guang Zhou mengikut jadual iaitu sekitar 1.30 t/hari dan mengambil domestic flight ke Changsa yang mengambil masa sejam. Dari Changsa kami menyewa kenderaan ke Yiyang dalam wilayah Hunan, sekitar 2 jam perjalanan dan sampai lebih kurang jam 8 malam. Kami menginap di hotel Xiao Huatian hotel.
 
Sepanjang perjalanan tadi kami tidak menghadapi apa-apa masaalah, kecuali semasa dalam flight ke Guang zhou, keadaan menjadi sedikit cemas apabila ana merasa hendak pitam. Selalunya keadaan ini disebabkan oleh tekanan darah yang jatuh mendadak dan dulu pernah berlaku beberapa kali semasa menjalani dialysis. Untuk menstabilkan tekanan darah dan mengembalikan pada tahap normal kami request kepada stewardess supaya menghantar meal lebih awal. Alhamdulillah apabila mengambil beberapa teguk minuman dan menjamah makanan ana rasa lega kembali, syukur ke hadrat Allah SWT.
 
Hospital di mana ana akan menjalani pembedahan dan rawatan dekat dengan hotel, walking distance kalau menurut kata Mr Loh, agen yang mengurus rawatan di sini. Sesampainya kami di sini, ah loon, anak Mr Loh yang juga pembantu beliau mengkhabarkan patient dari Malaysia berusia 21 tahun yang beliau uruskan baharu sahaja selesai menjalani transplant dan keadaannya amat memuaskan, alhamdulillah.
 
Ana dan zauj, kak zu mengucapkan jzkk jaza' kerana menyantuni kami sedemikian rupa. Kami merasa amat terhutang budi dengan jawatankuasa tabung rawatan yang diketuai oleh Prof Dr Sahrim Ahmad yang begitu prihatin dan mengambil berat tentang urusan pemergian kami ke Cina. Begitu banyak masa yang beliau ambil dari jadual beliau yang sebok untuk menguruskan kebajikan kami. Hanya Allah yang akan membalas segala kebaikan Prof Dr Sahrim dan JKnya. Kami juga amat terharu dengan segala pertolongan dan tips yang dikongsikan oleh akhi Jusri dan Kak Fauza yang tidak jemu-jemu memastikan bahawa kami membuat persiapan yang secukupnya sebelum bertolak ke sini.
 
Kami juga merasa amat terharu dengan ikhwah dan akhawat yang datang menghantar kami di airport dan melepaskan kami dengan juraian air mata. Akhuna Hasbullah meskipun sebuk dengan urusan menjaga kebajikan Syeikh Hassan Bashir, tetap datang untuk mengucapkan selamat berangkat kepada kami. Akhuna Dr Mustapha Din, naqib liqa usari bersama Dr Jamal Osman, akh Nazlee, akh Zukri dan Zulk dengan camcordernya, akh Amir Hamzah, Akh Wan ahmad Nizar, akh Khairuddin. Kami juga merasa amat kerdil apabila akhuna Presiden turut menyusul kami di airport. Tetapi kami merasa terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan Akhuna Prof Sahrim dan Hj Zairul yang hadir di saat kami telahpun masuk ke balai berlepas. Di kalangan akhawat, Kak Norazain, ukth Hamisah Mubin (Ketua Wanita JIMDHL). isteri akh Nazelee, isteri akh Wan Ahmad Nizar, kehadiran antuma besar maknanya kepada kak Zu. Kak Shams juga memaklumkan beliau dalam perjalanan ke airport ketika kami telah masuk ke balai berlepas. Kakak kak zu, Che Aton (Hindun) dan suaminya (Abg Hassan) turut datang dari Muar menghantar kami meskipun mereka telahpun menziarahi kami pada hari Sabtu yang lepas. Kami merasa amat terharu. Tak lupa juga pada akhuna Capt Azland yang datang ke rumah kami selepas solat subuh dan melepaskan kami bertolak dari rumah.
 
Sepanjang perjalanan dari rumah sampai kami boarding, bahkan sampai tiba di Guang Zhou, malah sehingga saat ini (jam 11.30 malam) kami masih menerima sms dari ikhawah akhawat yang mendoakan keselamatan kami dan bertanya khabar. Ya Allah! Kami bersyukur kepada Mu ya Allah kerana memberi peluang kepada kami merasai lazat kemanisan ukhuwah Islam. ya Allah, peliharalah dan berilah sebesar-besar ganjaran kepada sahabat-sahabat kami. Kami kasih pada mereka semua ya Allah...
 
Kami juga amat terharu dengan inisiatif yang dilakukan oleh Ust Rujhan, YDP JIM DHL dan ajk JIM DHL untuk mengadakan solat hajat khusus pada malam sebelum kami bertolak. Kami amat terharu apabila ikhwah-akhawat yang jauh dan dekat telah bersama dengan kariah Surau Al-Kauthar mengadakan solat hajat khusus untuk kami. Ana yakin kita turut mendoakan juga kesembuhan untuk akh Khalid Mohammed yang kini sedang dirawat di HUKM kerana masalah spinal beliau. Mohon sampaikan salam dan doa dari kami untuk kesembuhan beliau - syafakallah.
 
Mohon ikhwah dan akhawat bertanya khabar anak-anak kami jika kesempatan. Anakanda Mawardi dari Hira' menalipon kami dengan esakan sewaktu kami dalam perjalanan ke airport. Anakanda Amin berada di Kolej IKIP Kuantan. Jika ada pesanan tertentu bolehlah disampaikan juga kepada anakanda Qayyim. Kami telah amanahkan urusan keluarga kepada anakanda Qayyim. 
 
Sewaktu sebelum boarding, kami dihubungi sekali lagi oleh wartawan Utusan En Radzi yang ingin mewawancara ana berkaitan isu Palestin. Beliau merasakan isu Palestin sudah semakin dilupakan dan berharap wawancara itu akan mengingatkan kembali umat islam mengenai isu yang penting ini. Ana telah meminta agar Akh Zun Arif dan ukth Norazian supaya bersedia untuk diwawancara sebagai felo-felo kanan PACE. Ini adalah satu ruang yang luas untuk membentuk pandangan umum terhadap isu Palestin. Mohon perkembangan tentang hal ini dimaklumkan kepada ana.
 
Dengan tidak disangka ana terserempak dengan Dr Kaseh dari Jab Tamaddun Arab/Islam dari FPI UKM di ruang legar airport. Beliau akan ke Hong Kong untuk menghadiri konferens dan menyampaikan siri kuliah mengenai Islam. Ana memang berhajat untuk menyampaikan berita terkini tentang kesihatan ana tetapi dalam pada itu terlepas pandang. Alhamdulillah Allah pertemukan di airport supaya beliau boleh turut mendoakan kami. Beliau lah yang telah mempelawa ana untuk menyertai kumpulan penyelidik FPI mengenai Kesan Islam ke atas orang melayu. Ini juga merupakan satu ruang yang boleh dimanfaatkan oleh NICE insyaAllah.
 
Sebaik sahaja kami sampai ke Guang Zhao, ana cuba access internet dari hp. Kami menerima berita yang amat menyedikan, Syeikh Hassan Bashir telah kembali menemui Tuhannya. Semuga Allah menempatkan al-marhum dikalangan para syuhada dan anbiya'. Semuga peristiwa ini menjadi motivasi kepada kita semua untuk terus beramal sehingga ke akhirnya.
 
Inilah yang ana nukilkan sebagai tanda ingatan kepada sahabat-sahabat sewaktu menandatangani naskhah Jejak Risalah di Nusantara jilid V - "Udep Sare (Hidup mulia) atau Mati Syahid" Mari kita jadikan dunia ini ladang amal dan jihad.
 
InsyaAllah akan memberi update dari masa ke semasa
 
Ilaliqa'
Dr Hafidzi Mohd Noor
Hjh Zuraidah Kornain
gambar daripada Abu Syamil (Pak Cik Wan M Zukri)

Berangkatnya Seorang Pejuang

Pagi, Khamis, 22 Oktober 2009. Ruang legar Balai Berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang menyaksikan suasana sayu dan pilu apabila sekumpulan sahabat seakan tidak mahu melepaskan pemergian seorang saudaranya yang begitu disayangi. Namun atas dasar persahabatan dan persaudaraan juga, mereka cekalkan perasaan, menghentikan sementara alunan lagu perpisahan, menyimbah harapan serta doa atas segalanya...

baca lanjut di MalaysiaHarmoni